+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME BANK Terima 3 Anugerah Utama di Mesyuarat Tahunan ADFIAP ke-42

KUALA LUMPUR : 7 Mac 2019

Sumbangan SME Bank terhadap pembangunan PKS di negara ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah Bank menerima Anugerah Merit untuk kategori Projek Pembangunan Terbaik di bawah Projek Tanggungjawab Korporat SME Bank Y-Biz Challenge dan dua Anugerah Khas iaitu Laporan Kemampanan Terbaik dan Laman Web Terbaik di Mesyuarat Tahunan ke-42 Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) yang telah diadakan di Oman dari 20-22 Februari 2019.

Pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge yang memenangi Anugerah Merit merupakan program signature SME Bank yang dianjurkan khas untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia. Dilancarkan pada tahun 2012, seramai 2,169 orang pelajar dari 522 buah sekolah telah mendapat manfaat dari pertandingan ini dan berpandukan matlamat untuk menyemai minat terhadap keusahawanan di kalangan remaja, pertandingan ini telah berjaya menjana jumlah jualan terkumpul melebihi setengah juta ringgit dan ada peserta yang telah berjaya memasarkan produk di pasaran antarabangsa. Juara pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge juga digalakkan untuk memasuki pertandingan di peringkat antarabangsa  dengan adanya insentif dalam bentuk tiket penerbangan untuk lima orang wakil sekolah bernilai RM25,000.00 yang disediakan SME Bank.

Kemenangan dalam kategori Laporan Kemampanan Terbaik ini adalah kemenangan ‘hatrik’ buat SME Bank dan telah membuktikan bahawa usaha SME Bank untuk menjadi organisasi mampan yang prihatin terhadap kesejahteraan komuniti yang dibantunya telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Disamping ini, SME Bank yang juga sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) Patuh Syariah juga komited untuk menerajui inisiatif relevan yang disenaraikan dalam Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), satu inisiatif oleh Bank Negara Malaysia; dan melaporkan inisiatif tersebut ke dalam Laporan Kemampanannya.

Laman web yang baru dikemaskini dan berinformasi juga telah melayakkan SME Bank untuk merangkul Anugerah Laman Web Terbaik. Mengambilkira akan keperluan trend pengguna yang pelbagai dan keinginan untuk memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan, pihak Bank telah menaik taraf laman webnya agar ia menjadi lebih responsif terhadap pelbagai jenis gajet. Lebih 51% pelawat laman web SME Bank terdiri daripada pengguna peranti mudah alih dan memiliki laman web yang informatif adalah amat penting kerana ia berfungsi sebagai platform promosi silang yang memenuhi fungsi pemasaran dan penjenamaan Bank melalui pelbagai pautan atas talian dan media sosial.

SME Bank turut menerima Anugerah Prestasi Terbaik dari Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sewaktu majlis pelancaran Skim Jaminan Khas Kerajaan pada 18 Februari lalu. SME Bank ialah antara lima institusi kewangan terbaik dalam menawarkan skim jaminan SJPP kepada PKS tempatan.

Tema bagi Mesyuarat Tahunan ADFIAP ke-42 ini ialah “Peranan IKP dalam Pembangunan Negara” yang memberi penekanan terhadap pelbagai program dan inisiatif yang dijalankan oleh IKP dalam membangunkan sektor keusahawanan, infrastruktur dan teknologi. ADFIAP telah menjadi platform untuk bertukar idea dan perkongsian ilmu antara IKP di rantau Asia Pasifik.

 

07/03/2019 3:03