+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Biaya Projek Teknologi Hijau, SME Bank Diiktiraf di National Energy Awards 2020

KUALA LUMPUR : 25 November 2020

Bantuan Pembiayaan SME Bank khusus untuk projek teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui telah membuahkan hasil apabila SME Bank telah dianugerahkan dengan Anugerah Khas Pembiayaan Tenaga Lestari bagi kategori Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli baru-baru ini.

Memberi maklum balas di atas kejayaan SME Bank, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar berkata, “Adalah menjadi harapan Kerajaan untuk melihat lebih ramai usahawan meneroka bidang teknologi hijau ini. Pelbagai insentif dan dana telah diperuntukkan sebagai pemudahcara untuk membangunkan sektor Ekonomi Hijau antaranya dana bernilai RM2.0 bilion untuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 dan Bon Kelestarian pertama Malaysia seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021.”

Tambah Dato Sri Dr., “Usaha SME Bank dalam menyokong aspirasi Kerajaan ini dapat dilihat apabila pihak Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM197 juta sejak tahun 2012 melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan pembiayaan sedia ada SME Bank. Saya yakin bergerak ke hadapan, jumlah ini akan terus meningkat.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Sebagai sebuah IKP yang telah diamanahkan untuk memperkasakan sektor PKS, SME Bank sentiasa memastikan pembiayaan yang disalurkan dapat memberi nilai tambah bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga memberi manfaat terhadap alam sekitar dan juga rakyat.”

Aria menambah, “Pembiayaan yang disediakan adalah dalam bentuk modal kerja bagi projek-projek seperti bangunan pintar berteknologi hijau, ladang solar dan pemasangan sistem penjimatan tenaga dalam bangunan. Dengan adanya pembiayaan yang memenuhi keperluan perniagaan serta pelbagai program pembangunan usahawan yang dinamik ini membolehkan kami untuk melahirkan lebih ramai usahawan berinovasi tinggi.”

Bergerak ke hadapan, SME Bank optimis bahawa penglibatan usahawan PKS dalam industri teknologi hijau akan bertambah rancak berikutan  permintaan yang semakin meningkat disokong pelbagai inisiatif dari Kerajaan dan agensi. SME Bank akan sentiasa menawarkan kemudahan pembiayaan yang lengkap bagi memacu pertumbuhan sektor PKS terutamanya dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui seiring dengan perkembangan teknologi dan Revolusi Industri 4.0.

25/11/2020 9:43