+603 2603 7700
EN BM

Skim Pembiayaan Lestari Bumi oleh SME Bank Bantu Tingkatkan Perniagaan Usahawan Mikro dan Kecil

KUALA LUMPUR : 7 April 2021

SME Bank hari ini telah melancarkan Skim Pembiayaan Lestari Bumi khusus untuk membantu membangunkan usahawan mikro dan kecil melalui peruntukan pembiayaan sebanyak RM300 juta untuk membolehkan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB. Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Hj Samsudin sewaktu majlis pelancaran Skim Pembiayaan Lestari Bumi berkata, “Skim Pembiayaan Lestari Bumi ini hadir tepat pada masanya memandangkan usahawan mikro dan kecil negara sangat terkesan dengan impak pandemik Covid-19. Statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa 41,349 perniagaan yang terjejas dan tutup akibat pandemik ini pada tahun lepas.”

Beliau menambah, “Terdapat hampir dua (2) juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara dan lebih 92% usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu. Saya menyeru agar mereka mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak yang berwajib demi memastikan kehadiran mereka dapat dilihat oleh kerajaan dan seterusnya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti SME Bank.”

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Skim Pembiayaan Lestari Bumi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021. Melalui skim ini, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000. Ini semestinya akan membolehkan usahawan-usahawan mikro dan kecil ini meningkatkan perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi.”

Aria menambah, “Melalui Skim Pembiayaan Lestari Bumi, usahawan akan menerima bantuan yang lebih berstruktur mengikut keperluan perniagaan mereka serta mendapat akses kepada program-program latihan dan bimbingan yang lebih efektif dan tersusun melalui Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), sebuah anak syarikat milik penuh SME Bank.”

Selain daripada pelancaran Skim Pembiayaan Lestari Bumi ini, SME Bank turut menandatangani memorandum persefahaman MOU dengan tiga buah agensi kerajaan iaitu Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Aria berkata, “MOU ini menyaksikan SME Bank bekerjasama dengan tiga buah agensi yang mempunyai peranan penting dalam membantu usahawan mikro dan kecil bagi menyokong agenda kerajaan dalam membina ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif terutamanya pasca COVID-19. Dengan kerjasama ini, SME Bank dan rakan strategik dapat mengenal pasti bantuan dalam bentuk pembiayaan dan latihan keusahawanan untuk kumpulan sasar agar setiap kategori usahawan tidak ketinggalan dalam menerima bantuan yang secukupnya. Selain itu, kami juga akan saling berkongsi data dan idea dalam merangka inisiatif pembangunan PKS agar lebih sistematik. Kerjasama ini menandakan permulaan kepada Skim Pembiayaan Lestari Bumi dan kami berharap lebih banyak agensi akan turut serta sebagai rakan strategik SME Bank.”

Majlis Pelancaran Skim Lestari Bumi dan pemeteraian memorandum persefahaman antara SME Bank dengan SEDC, TEKUN dan AIM ini telah disaksikan oleh YB. Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Hj Samsudin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, Pengerusi Eksekutif, AIM. SME Bank telah diwakili oleh Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif, SEDC telah diwakili oleh Hajah Rakayah Hamdan, Timbalan Pengurus Besar SEDC, YBhg. Dato' Adam Abd Ghani,Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif mewakili TEKUN Nasional manakala Mohamed Shamir Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi, mewakili Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).