+603 2603 7700
EN BM

Sukuk Kelestarian Baru SME Bank Terlebih Langganan dengan Permintaan Melebihi RM1.0 Bilion

KUALA LUMPUR : 30 Mei 2023

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sukacitanya mengumumkan kejayaan penerbitan Sukuk Kelestarian 5 tahun baharunya, menerusi proses penetapan harga (book building). Jumlah permintaan bagi terbitan Sukuk telah melebihi RM1.0 bilion, melepasi saiz awal yang iaitu sebanyak RM500 juta.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, "Disebabkan permintaan yang menggalakkan daripada institusi kewangan tempatan dan asing, syarikat pengurusan dana, firma takaful/insurans, dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, SME Bank telah memilih untuk meningkatkan jumlah terbitan kepada RM1.0 bilion.”

Datuk Wira Aria menambah, “Pencapaian ini menunjukkan keyakinan tinggi pelabur dan komuniti kewangan terhadap keupayaan SME Bank untuk memacu pertumbuhan PKS, terutamanya dalam memastikan mereka dapat terus bertahan. Sukuk Kelestarian SME Bank telah berjaya ditetapkan pada kadar keuntungan yang sangat kompetitif iaitu sebanyak 4.05%, di tengah-tengah persekitaran pasaran yang mencabar. ”

Program Sukuk Wakalah SME Bank telah diberikan penarafan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) dan mencapai standard Emas, penarafan tertinggi Rangka Kerja Sukuk Kelestarian oleh MARC. Penarafan ini meningkatkan lagi kebolehpercayaan kredit SME Bank yang kukuh dan komitmen teguh terhadap amalan kelestarian.

Ketua Perbendaharaan SME Bank, Mohd Nazri Abu Samah menambah, “Agensi penarafan MARC telah mengesahkan semula penarafan AAAIS/MARC-1IS dengan Tinjauan 'Stabil' pada Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) SME Bank sehingga RM3.0 bilion dan Program Kertas Komersial Islam (ICP) sehingga RM1.0 bilion, dengan had agregat gabungan nilai nominal sehingga RM3.0 bilion. Penarafan ini mengukuhkan kedudukan kewangan SME Bank dan keupayaannya untuk melaksanakan komitmennya secara konsisten.”

Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan secara eksklusif untuk membiayai projek yang sejajar dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Tumpuan strategik pada projek ESG ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan yang mampan tetapi juga membolehkan SME Bank untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan inovatif yang bersesuaian dengan keperluan unik perusahaan kecil dan sederhana.

Terbitan Sukuk ini telah diterajui oleh institusi kewangan seperti RHB Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, dan Maybank Investment Bank Berhad .

SME Bank, sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), telah lama diiktiraf sebagai salah sebuah pemain utama dalam pembangunan PKS di Malaysia. Dengan kejayaan penerbitan Sukuk Kelestarian ini, SME Bank mengukuhkan misinya untuk memperkasakan PKS, menggalakkan pertumbuhan mampan dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.