SME Bank Terus Bantu PKS Hadapi PKP 3.0
Seiring dengan pengumuman bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) oleh YAB Perdana Menteri, SME Bank menyambut baik langkah Kerajaan dalam menangani impak ke atas para usahawan PKS akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) ini. SME Bank komited untuk terus membantu para pelanggan yang terjejas dengan pengurangan pembiayaan serta penawaran lanjutan moratorium bersasar kepada pelanggannya yang layak untuk membantu mereka menghadapi cabaran PKP 3.0.
Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Bermula dari PKP 1.0, SME Bank telah menjadi bank pembangunan pertama yang menawarkan SME Relief Program (SRP), pelan bantuan pembayaran bersasar yang mesra pelanggan. Melihat kepada persekitaran ekonomi yang kekal mencabar, SME Bank seterusnya mengambil pendekatan proaktif dengan melancarkan SRP 2.0 di mana bantuan pembayaran bersasar ini dipanjangkan sehingga 30 September 2021. Di bawah SRP, SME Bank telah membantu 3,084 orang pelanggan yang layak dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.1 bilion.”
Aria menambah, “Secara khususnya, melalui Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF-Targeted Relief & Recovery Facility) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), SME Bank telah pun menggunakan kesemua peruntukkan yang diberi dan meluluskan pembiayaan bernilai RM150 juta sejak ia mula ditawarkan pada tahun lepas. Untuk PEMERKASA+, SME Bank akan mengemukakan permohonan penambahan dana sebanyak RM200 juta kepada BNM.”
Selain TRRF, SME Bank juga akan terus menyediakan skim pembiayaan SME Go PEMERKASA+ yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi khusus untuk membantu kontraktor (G2-G4) yang telah ditawarkan kontrak oleh Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan Pusat atau Negeri. Pembiayaan kontrak akan dibiayai oleh SME Bank melalui MySMEBina untuk kontrak pembinaan atau infrastruktur dan/atau MySMEBekal untuk kontrak pembekalan atau penyelenggaraan. Skim pembiayaan SME Go PEMERKASA+ adalah untuk tujuan modal kerja dengan had pembiayaan sehingga RM1.0 juta.
“SME Bank juga telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan pengecualian dan pengurangan bayaran sewa kepada penyewa di Kompleks Premis Usahawan (EPC) serta di ibu pejabat SME Bank sejak tahun lepas yang memberikan penjimatan kos operasi bernilai RM6.1 juta kepada para penyewa. Bagi menyokong PEMERKASA+, pihak Bank bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran sewa 100% selama 7 bulan lagi bermula dari Jun 2021 hingga Disember 2021 dengan nilai penjimatan kos berjumlah RM6.6 juta. Ini adalah untuk meringankan beban yang dihadapi oleh penyewa kami dan membolehkan usahawan mempersiapkan aliran tunai yang cukup untuk merancakkan semula operasi mereka selepas PKP 3.0,” tambah Aria.
PEMERKASA+ juga terus memberi peluang kepada CEDAR (Centre for Entrepreneur Development and Research), anak syarikat milik penuh SME Bank menawarkan program-program pembangunan perniagaan kepada semua usahawan PKS yang telah terjejas akibat pandemik COVID-19. Sehingga hari ini, CEDAR telah menjalankan pelbagai modul latihan dan bimbingan sama ada secara atas talian atau sebaliknya yang melibatkan lebih 60,000 orang peserta.
Penguatkuasaan PKP sejak Mac 2020 juga telah memberi kesan buruk kepada golongan B40 yang juga merangkumi pengusaha mikro dan PKS. SME Bank telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan sebuah program tanggungjawab korporat iaitu, PENJANA Komuniti@SME Bank dengan tujuan untuk membimbing dan membangunkan golongan B40 untuk menjadi usahawan digital yang berjaya. Melihat kepada impak positif program PENJANA Komuniti@SME Bank ini pada tahun lepas, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah bersetuju untuk memberi dana sebanyak RM3.0 juta agar program ini dapat memanfaatkan lebih ramai usahawan B40 di seluruh negara. Seramai 220 orang usahawan B40 kini sedang mengikuti program ini.
Selain itu, SME Bank juga telah menganjurkan program ISHRAF bertujuan membantu golongan usahawan kategori ASNAF dengan sokongan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun lepas. Peruntukkan berjumlah RM250,000 daripada dana Zakat SME Bank telah diperuntukkan untuk program ini. 20 orang peserta yang terlibat dengan program ini telah berjaya mencatat hasil jualan bernilai RM263,000 di dalam jangka masa tiga bulan sahaja. Pada tahun ini, SME Bank akan meneruskan program ISHRAF 2.0 dengan melibatkan lebih ramai peserta daripada seluruh negara.
Pelanggan SME Bank dan usahawan PKS yang berminat boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03- 26037700 atau layari laman web rasmi www.smebank.com.my dan media sosial rasmi SME Bank untuk maklumat lanjut.