+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Inisiatif Khusus SME Bank Bernilai RM900 Juta Bantu Kembang Perniagaan PKS

KUALA LUMPUR : 9 November 2021

Usahawan PKS akan berpeluang meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti pembangunan negara dengan skala yang lebih besar melalui inisiatif pendanaan ekuiti dan quasi-equity dengan dana bernilai RM600 juta yang diterajui SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan Bank Simpanan Nasional seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini oleh Menteri Kewangan.

Selain itu, SME Bank juga akan memperuntukkan dana bernilai RM200 juta di bawah inisiatif IBS Promotion Fund (IBS 2.0) dan RM100 juta di bawah program Pembiayaan Usahawan Muda (YEF2.0) untuk terus membantu golongan sasaran mengembangkan perniagaan masing-masing serta memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era pembangunan semula negara pasca COVID-19.

YB Tan Sri Noh, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, “Inisiatif di dalam Bajet 2022 yang melibatkan SME Bank ini adalah bukti kepentingan fungsi yang dimainkan oleh SME Bank sebagai sebuah Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) yang terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan negara.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata,  “SME Bank menyambut baik semua inisiatif yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 dan kami telah bersedia untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan iaitu membimbing dan mengembangkan sektor PKS negara.”

Walaupun usaha Kerajaan untuk menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan dan bantuan di bawah Penjana dan Pemulih dipuji, PKS terus menghadapi kekangan aliran tunai akibat pandemik yang berterusan dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan.

Keperluan jangka masa panjang untuk mengukuhkan struktur modal dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan menjadi lebih penting kerana ramai PKS diwajibkan untuk meningkatkan leveraj untuk terus kekal beroperasi dan kembali pulih selepas pandemik. Walau bagaimanapun, segmen tertentu PKS tidak dapat memperoleh pembiayaan selanjutnya disebabkan oleh kunci kira-kira dan tahap penggearan yang lemah.

Oleh itu, adalah perlu untuk meluaskan pilihan penjanaan dana untuk PKS bagi membolehkan mereka terus memainkan peranan mereka dalam pelaburan, pertumbuhan, inovasi dan peluang pekerjaan.

Melalui program pendanaan ekuiti dan quasi-equity tersebut, SME Bank akan menyediakan kemudahan dalam bentuk pembiayaan suntikan ekuiti yang diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama TERAJU & Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana berjumlah RM600 juta dan pelaburan sehingga RM5 juta setiap PKS untuk tempoh sehingga 5 tahun.

Inisiatif kedua ialah IBS Promotion Fund (IBS 2.0) yang bernilai RM200 juta akan menyaksikan SME Bank menawarkan bantuan kewangan kepada kontraktor-kontraktor yang layak sehingga kategori G7, pengilang dan pemasang dalam industri IBS. Pembiayaan adalah dalam bentuk keperluan modal kerja; perolehan mesin / peralatan / kilang; dan ubah suai kilang dengan jumlah pembiayaan sehingga RM10 juta setiap PKS.

Dana sebanyak RM100 juta turut ditawarkan oleh SME Bank di bawah Program Pembangunan Usahawan Muda (YEF 2.0) yang akan membantu dan menyokong pembangunan PKS yang terdiri dari usahawan muda berumur antara 21 hingga 40 tahun. Pembiayaan ini boleh digunakan untuk tujuan keperluan modal kerja dan perolehan aset perniagaan. Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM1 juta dengan kadar keuntungan sebanyak 5.0% setahun.

Bajet 2022 juga memberi ruang secara tidak langsung untuk SME Bank bekerjasama dengan pelbagai entiti untuk membantu PKS. Secara khususnya, SME Bank akan bekerjasama secara dekat dengan BNM untuk membantu usahawan PKS melalui dana-dana di bawah seliaannya seperti “Business Recapitalisation Fund” (BRF) dan “Low Carbon Transition Facility” yang masing-masing – masing bernilai RM1 biliion serta dana sedia ada bernilai RM11.2 bilion seperti “Targeted Relief and Recovery Facility”, “Automation and Digitilisation Fund”, High Tech Facility-National Investment Aspirations dan lain-lain lagi.

Selain itu, SME Bank juga berpeluang untuk terlibat dengan projek-projek pembangunan infrastruktur kebangsaan yang melibatkan usahawan PKS yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan serta beberapa inisiatif lain seperti Rantaian Digital Kebangsaan (JENDELA) yang secara keseluruhannya bernilai RM40.3 bilion.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005 dan sehingga September 2021, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM38 bilion kepada 20,543 orang usahawan PKS. Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat SME Bank pula telah menjalankan pelbagai modul latihan dan sesi bimbingan yang melibatkan lebih 62,000 orang peserta. Produk-produk baharu yang diumumkan sewaktu Bajet 2022 ini dijangka akan mula ditawarkan kepada usahawan PKS yang layak pada awal tahun 2022. Untuk pelbagai maklumat lanjut berkenaan bantuan kewangan dan program pembangunan usahawan oleh SME Bank, sila layari laman web www.smebank.com.my dan Facebook rasmi SME Bank.

09/11/2021 7:02