SME Bank Sasar Bimbing 400 Usahawan Asnaf Melalui Program SME Bank iTEKAD ISHRAF
SME Bank sasar bimbing 400 orang usahawan Asnaf melalui program SME Bank iTEKAD ISHRAF yang dilancarkan pada hari ini dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan enam (6) lagi rakan strategik program. Program Keusahawanan Asnaf yang sebelum ini dikenali sebagai Program ISHRAF SME Bank, telah dijenamakan semula menjadi Program SME Bank iTEKAD ISHRAF setelah diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai inisiatif yang seiring dengan objektif Program kewangan sosial, iTEKAD yang dinaungi BNM.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick berkata, “Kementerian sangat optimis apabila melihat jumlah penyertaan telah dinaikkan lebih lima kali ganda daripada hanya 79 orang untuk Program ISHRAF 2.0 ke 400 orang bagi siri ketiga ini. Berpandukan objektif untuk melahirkan usahawan asnaf yang lebih kompetitif dan berdaya tahan, program SME Bank iTEKAD ISHRAF ini adalah yang seiring dengan pelan strategik KUSKOP 2023 untuk memberi fokus terhadap pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan dan koperasi agar lebih berdaya maju dan boleh beradaptasi dengan perubahan. Di samping ini, program ini juga menyokong konsep Malaysia MADANI yang menjadi kompas untuk kita maju ke hadapan.”
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, Program SME Bank iTEKAD ISHRAF yang dilaksanakan dengan kerjasama YaPEIM di bawah Program Inspirasipreneur Dream dan rakan strategik yang lain, kini
tepat pada masanya dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi usahawan asnaf untuk berdiri sendiri dan ‘survive’ dalam kehidupan masing-masing. Hasil bantuan kewangan dan latihan yang diberikan membolehkan 400 usahawan asnaf ini menjana pendapatan dan mengusahakan perusahaan masing-masing secara lebih sistematik dan berdaya saing. “Saya berpandangan sekiranya usahawan asnaf ini yang berjaya dibantu pastinya mereka dapat membantu pula golongan asnaf yang lain di samping menjadi model atau contoh kepada asnaf lain untuk berjaya seperti mereka kelak.”
Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “Sebagai sebuah Program di bawah iTEKAD, Kementerian Kewangan Malaysia melalui BNM telah menyalurkan dana iTEKAD bernilai RM2.0 juta untuk pihak Bank uruskan melalui program SME Bank iTEKAD ISHRAF ini. Secara keseluruhannya, kami berjaya mengumpulkan dana bernilai RM5.6 juta melalui kerjasama dengan rakan-rakan strategik kami. Dengan adanya sokongan ini, program ini telah dapat diperluaskan lagi ke seluruh negara berbanding hanya ke enam buah negeri pada tahun lepas.”
Program SME Bank iTEKAD ISHRAF telah dilaksanakan dengan sokongan daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui BNM, YaPEIM, Etiqa Family Takaful, Etiqa General Takaful, Bank Islam Malaysia Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan FGV Holdings Berhad.
Datuk Wira Aria menambah, “Melalui peruntukan dana ini, peserta akan diberi latihan dan bimbingan berserta geran perniagaan bernilai RM10,000.00 setiap seorang. SME Bank berharap agar pelaksanaan Program SME Bank iTEKAD ISHRAF ini dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing dan berinovatif.”
Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) telah dilantik sebagai pembimbing perniagaan yang akan menyediakan latihan dan memantau perkembangan peserta sepanjang program. Topik latihan keusahawanan yang akan dipelajari oleh para peserta termasuk Strategi Pemasaran dan Penjualan, Kemahiran Pendigitalan, Pengurusan Kewangan, Proses & Operasi serta Pengurusan Modal Insan. Antara penunjuk prestasi utama yang perlu dicapai peserta termasuk peningkatan jualan, penambahan pekerja dan produk/perkhidmatan baharu serta adaptasi teknologi.
Majlis pelancaran Program SME Bank iTEKAD ISHRAF yang berlangsung pada hari ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dihadiri wakil daripada rakan strategik Program SME Bank iTEKAD ISHRAF.