+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Sasar Peningkatan Jualan Eksport Usahawan PKS melalui BEP

KUALA LUMPUR : 16 Februari 2022

11 orang usahawan PKS yang juga peserta Business Exports Program (BEP) telah di bawa menyertai Misi Peningkatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) Dubai 2022 yang berlangsung serentak dengan Ekspo Dubai 2020 dan Gulf Food. SME Bank menyasarkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM23 juta bagi keseluruhan peserta Business Exports Program (BEP) yang dijalankan secara usaha sama oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Bank dan MATRADE.

Ketua Pegawai Strategik Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata, “Selain daripada mencari peluang melebarkan pasaran ke peringkat antarabangsa, 11 orang usahawan PKS ini juga akan mencari peluang untuk menarik pelabur ke dalam syarikat masing-masing. Ini adalah antara objektif utama penyertaan mereka di bawah EAM yang turut dilancarkan di Dubai oleh Dato’ Suriani Binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha MEDAC pada 13 Februari 2022. Sebelas buah syarikat ini adalah daripada sektor makanan dan minuman, telekomunikasi, pembuatan dan perkhidmatan.”

Mohammad Hardee menambah, “SME Bank sebagai agensi pelaksana telah memulakan program ini sejak tahun 2016 sehingga 2019 di mana sebelum ini ia dikenali sebagai Best Exporters Program dan merupakan kolaborasi antara TERAJU, SME Bank dan MATRADE.  73 buah syarikat tempatan telah menyertai program tersebut dan mencatat peningkatan hasil eksport sebanyak RM141.4 juta; 55 buah syarikat telah berjaya meningkatkan hasil eksport; 19 buah syarikat telah menjadi pengeksport baharu dan 13 buah syarikat telah mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM87.7 juta.”

BEP merupakan sebuah program intervensi berstruktur yang telah diletakkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Program ini menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak dan gas. Selain itu, BEP juga secara langsung menyokong Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi, dengan memudah cara usahawan PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.