+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Memperkenalkan Program Sukuk Wakalah RM3 Bilion dan Terbit Sukuk Kelestarian Pertama

KUALA LUMPUR : 5 Julai 2021

SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperkenalkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion dan akan menjadi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) pertama di negara ini yang menerbitkan Sukuk Kelestarian bagi memenuhi keperluan dana dan modal kerjanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato Sri Dr Hj Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar berkata, “Penerbitan Sukuk Kelestarian oleh SME Bank adalah tepat pada masanya terutamanya sewaktu krisis ini berlaku di mana terdapat keperluan untuk menyeimbangkan antara menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dan melakukan kebaikan bagi memenuhi tanggungjawab kami terhadap faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG). Usaha SME Bank untuk menjadi sebahagian daripada trend global merupakan satu langkah yang bijak bagi menjamin jejak kewangan yang kukuh dalam landskap kewangan negara buat masa sekarang dan pada masa akan datang.”

"Mengambil daripada perkembangan signifikan ini, satu persoalan penting muncul iaitu, di manakah tahap kedudukan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kita sekarang dalam meletakkan ESG sebagai sebahagian DNA mereka? ESG akan menjadi satu norma pada masa hadapan dan PKS kita perlu bersedia untuk menerima pakai prinsip-prinsip ini dalam operasi harian mereka. Kerajaan, pihak bank dan pihak berkepentingan yang memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan perlu memimpin dan mendorong transformasi berterusan PKS,” tambahnya.

Pengerusi SME Bank, Dato' Seri Nazir Ariff berkata, "SME Bank terus memenuhi mandatnya untuk memupuk dan membangunkan PKS negara, dengan sokongan padu daripada kerajaan dan semua pihak berkepentingan. Penarafan AAAIS yang diberikan oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) untuk Program Sukuk Wakalah ini merupakan bukti kekuatan dan komitmen kami dalam mendukung mandat ini."

Dato’ Seri Nazir Ariff menambah, “SME Bank telah memasukkan elemen-elemen ESG dalam menjalankan mandat sejak penubuhannya dan dengan rangka kerja ESG kami sendiri, ditambah dengan rangka kerja Sukuk Kelestarian, ini merupakan langkah bagi menegaskan dan mengukuhkan visi dan misi Bank serta meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kepentingan pembangunan lestari. Pada masa yang sama, ia juga menunjukkan komitmen kami dalam mewujudkan kesan positif terhadap masyarakat dan alam sekitar.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian ini akan disalurkan untuk membiayai projek-projek yang secara langsung menyokong 11 dari 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”

Aria menambah,  “11 kategori yang terpilih diselaraskan dengan kategori projek hijau dan sosial yang diakui oleh Piawaian Bon Lestari ASEAN (ASEAN SUS), Piawaian Bon Sosial ASEAN (ASEAN SBS) dan Piawaian Bon Hijau ASEAN (ASEAN GBS) yang dikeluarkan oleh Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF). Di samping itu, 11 kategori ini juga diselaraskan dengan Garis Panduan Bon Lestari (SBG), Prinsip Bon Hijau (GBP) dan Prinsip Bon Sosial (SBP) yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) dan mengikuti garis panduan standard dari Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.”

Aria berkata, “Kategori projek hijau ini menyasarkan enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, sisa dan air. Sektor-sektor ini telah dikenal pasti oleh Pelan Induk Teknologi Hijau bagi membantu pertumbuhan teknologi hijau di Malaysia. Sementara itu, fokus bagi kategori projek sosial adalah untuk mewujudkan pekerjaan yang sesuai, meningkatkan kesaksamaan jantina, dan memberi peluang ekonomi kepada kumpulan sosial yang tidak mendapat bantuan dan mendapat bantuan yang tidak mencukupi di negara ini.

Dengan terbitnya Sukuk Kelestarian ini, SME Bank berada dalam kedudukan yang tepat untuk mempromosikan dan mendidik tentang pentingnya memasukkan ESG dalam operasi perniagaan semua PKS.Ini akan membolehkan mereka membina perniagaan lestari, berkembang lebih besar dan menjadi perusahaan yang memenuhi standard antarabangsa.”

Agenda kelestarian SME Bank juga selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi BNM, yang menekankan tentang kepentingan IKP untuk memasukkan additionality sebagai sebahagian daripada operasi perniagaan mereka untuk menggalakkan hasil pembangunan yang lebih besar dan memperkukuhkan akauntabiliti mereka sebagai institusi awam.

Penasihat Utama Tunggal / Pengatur Utama Tunggal untuk pelaksanaan program Sukuk Kelestarian ini adalah RHB Investment Bank Berhad dan Pengurus Pemimpin Bersama (JLM) adalah AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan juga RHB Investment Bank Berhad. Hari ini, SME Bank dan JLM telah mengadakan Pembentangan Pelabur Kumpulan secara dalam talian yang menerangkan mengenai Program Sukuk Wakalah dan sasaran penerbitan Sukuk Kelestarian sulungnya kepada pelabur yang berpotensi dan berminat.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, SME Bank tetap setia pada mandatnya untuk mendukung pertumbuhan PKS melalui kemudahan pembiayaan dan melangkaui pembiayaan. Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih dari RM35 bilion kepada lebih daripada 19,000 orang pelanggan yang majoritinya berasal dari PKS yang tidak mendapat bantuan secukupnya dan tidak menerima bantuan.

Melalui Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. atau CEDAR, anak syarikat milik penuh Bank, SME Bank telah melatih lebih dari 60,000 orang peserta dari pelbagai tahap melalui program khusus. Komitmen ini sejajar dengan SDG dalam meningkatkan taraf hidup komuniti setempat dengan memenuhi keperluan kewangan PKS dan memberikan perkhidmatan teladan.

Rangka Kerja Sukuk Kelestarian SME Bank dan Laporan Pendapat Kedua oleh Pemeriksa Luar, MARC kini boleh didapati di laman web rasmi Bank, www.smebank.com.my.

05/07/2021 7:49