+603 2603 7700
EN BM

SME Bank XCESS 2018 menangani masalah akses kepada pembiayaan usahawan PKS

KUALA LUMPUR : 8 Oktober 2018

Seramai hampir 700 usahawan PKS telah berkumpul di program SME Bank XCESS 2018 untuk mendapatkan khidmat nasihat bagaimana SME Bank dapat membantu menyelesaikan masalah pembiayaan serta mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, “SME Bank XCESS 2018 adalah program terbesar SME Bank pada tahun ini dan ia bertujuan membantu menyelesaikan masalah akses kepada pembiayaan yang sentiasa menjadi rungutan usahawan PKS.” Tambah Aria, “Untuk edisi tahun ini, SME Bank menyediakan 20 pegawai kredit yang ditugaskan membimbing para peserta program secara bersemuka melalui aktiviti Biz Clinic. Selain daripada itu, SME Bank juga menjemput tujuh vendor daripada sektor peruncitan, telekomunikasi, teknologi maklumat dan perkilangan untuk sesi padanan perniagaan.”

SME Bank XCESS 2018 juga menyaksikan pelancaran dua produk terbaru SME Bank iaitu MySMELady dan MySMExport. MySMELady yang dirangka khusus untuk usahawan PKS wanita diperkenalkan bagi membina komuniti yang menyokong pemerkasaan wanita melalui program-program pembangunan usahawan. Melalui MySMELady, usahawan wanita yang layak boleh mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta dengan cagaran yang minimum.

Pemohon yang berjaya akan diberi pilihan untuk membuat pengeluaran wang sehingga 30% daripada jumlah pembiayaan modal kerja melalui Kad Debit Bank Islam yang dikhususkan untuk mereka. Selain daripada itu, pelanggan MYSMELady secara automatik akan menjadi ahli eksklusif MySMELady Biz Club dan mereka dapat menikmati beberapa kemudahan eksklusif antaranya program pembangunan usahawan seperti bimbingan keusahawanan, forum perbincangan berkenaan isu-isu keusahawanan seperti peluang perniagaan, pemasaran, komunikasi berkesan dan sebagainya.

MySMExport pula disasar dapat membantu para usahawan yang mahu meluaskan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa serta usahawan yang telahpun menembusi pasaran antarabangsa dan ingin mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran global. Usahawan PKS yang permohonannya berjaya boleh mendapat pembiayaan sehingga RM5 juta dan tiada cagaran dikenakan bagi pembiayaan untuk modal kerja. Selain itu, usahawan yang menerima pembiayaan MySMExport akan mendapat akses kepada program-program sokongan perdagangan yang dikelolakan oleh MATRADE serta berpeluang menikmati kemudahan perdagangan dengan Bank Muamalat.

SME Bank XCESS 2018 juga mengumpulkan hampir 18 syarikat PKS daripada pelbagai jenis perniagaan untuk membuka gerai jualan pada hari tersebut. Terdapat juga forum keusahawanan serta sesi sembang usahawan oleh usahawan-usahawan wanita berjaya serta usahawan yang terkemuka dalam bidang eksport. Rakaman rancangan TV SUKSES terbitan SME Bank dengan kerjasama Astro Awani turut diadakan sewaktu forum perbincangan yang turut disertai oleh Aria Putera Ismail, usahawan kasut terkemuka, Christy Ng serta Rina Shahar, pemilik Gaia Plas Sdn. Bhd. SUKSES bersiaran setiap Jumaat, 8.30 malam di saluran Awani 501.

SME Bank XCESS 2018 telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta turut hadir ialah Yang Berhormat Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan.