+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Y-Biz Challenge Cungkil Bakat Usahawan Holistik

KUALA LUMPUR : 24 Julai 2018

Sebanyak 20 pasukan daripada 113 buah sekolah menengah  yang menyertai SME Bank Y-Biz Challenge 2018 telah  terpilih untuk bersaing di peringkat separuh akhir pada 23 hingga 25 Julai 2018 di Kuala Lumpur bagi merebut tempat 10 kumpulan terbaik di peringkat akhir. Finalis SME Bank Y-Biz Challenge 2018 akan bertanding bagi merebut hadiah wang tunai bernilai lebih RM60,000.00 dan tiket penerbangan bernilai RM25,000.00.

Seiring dengan mandat untuk membimbing dan membangunkan usahawan PKS, SME Bank melangkaui fungsi pembiayaannya dengan menganjurkan pelbagai program tanggungjawab korporat. SME Bank Y-Biz Challenge ialah salah satu daripada inisiatif  yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat khususnya dalam bidang keusahawanan  diperingkat pelajar sekolah dan belia.

Peringkat separuh akhir ini menyaksikan para peserta menyakinkan panel juri  tentang kelebihan produk mereka yang berpotensi untuk dikomersilkan. Sesi penjurian menekankan aspek pemasaran, kewangan, pengurusan perniagaan serta pengkomersilan. Setiap kumpulan yang mara ke peringkat separuh akhir juga diberi wang modal bernilai RM1,000.00 untuk menyediakan produk cadangan yang akan dibentangkan dihadapan panel juri.

SME Bank Y-Biz Challenge 2018 telah dilancarkan pada bulan Disember 2017. Para peserta perlu menyediakan kertas cadangan projek dan telah dimuat naik ke portal www.yoursuccesourstory.com untuk dinilai oleh para juri pada peringkat saringan awal. 20 kumpulan yang mara ke peringkat separuh akhir diperlukan menghadiri sesi bootcamp 3 hari 2 malam yang padat dengan aktiviti keusahawanan serta kepimpinan. Pusingan akhir SME Bank Y-Biz Challenge 2018 dijangka berlangsung pada bulan Oktober 2018 nanti.

Sejak dilancarkan pada tahun 2012, pertandingan ini telah disertai seramai 1,344 orang pelajar dari 409 buah sekolah menegah di seluruh negara. Antara kejayaan para peserta ialah mencatat hasil penjualan yang memberansangkan dan juga memperoleh kemenangan di peringkat antarabangsa. Seperti contoh, E-Pro Buster, sejenis gel penghalau haiwan perosak ciptaan Madrassah Idrisiah, Kuala Kangsar telah terjual sebanyak 30,000 unit manakala produk D’Lapique iaitu alas meja mudah alih dari produk non-woven ciptaan SMK Malim, Melaka, telah berjaya dijual lebih 18,000 unit sejak tahun 2013. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang dengan produk Essential Fan pula telah berjaya merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Khas di The 6th Bi-Annual International European Women Inventors & Innovators Network Exhibition, Conference and Awards yang telah diadakan di Itali.

Senarai finalis akan diumumkan di dalam program TV SUKSES yang akan ditayangkan di Astro Awani saluran 501 pada 3 Ogos 2018 jam 8.30 malam.