+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Y-Biz Challenge Persiap Belia Jadi Usahawan

KUALA LUMPUR : 12 November 2018

Lebih setengah juta ringgit nilai jualan terkumpul telah berjaya diperoleh oleh para peserta SME Bank Y-Biz Challenge sejak dari tahun 2012 hingga sekarang dan ini membuktikan pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge telah berjaya mencapai objektif penganjurannya iaitu menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama. SME Bank Y-Biz Challenge merupakan pertandingan yang menguji minda para pelajar untuk mencipta dan mencari produk yang boleh dikomersilkan serta mencapai tahap ‘investor readiness’.

Sekurang-kurangnya 10 buah sekolah yang pernah menyertai pertandingan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge telah berjaya menjual produk mereka sama ada di dalam atau luar negara. Antara produk yang laris jualannya adalah E-Pro Buster yang dihasilkan oleh Madrasah Idrisiah, Perak yang merupakan sejenis gel penghalau haiwan perosak dengan hasil jualan produk melebihi RM300 ribu bagi tahun 2015 - 2016. Pencapaian ini membuktikan pertandingan ini telah memanfaatkan pelajar dan sekolah yang menyertainya serta menjadikan SME Bank Y-Biz Challenge sebagai platform untuk mempersiapkan para belia untuk menjadi usahawan muda yang berjaya di masa hadapan.

Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan SME Bank berkata, “Program ini lahir dari mandat yang telah diamanahkan oleh Kerajaan kepada kami, iaitu untuk membimbing dan memupuk lebih ramai usahawan dalam negara terutamanya di kalangan golongan belia dan melalui Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge inilah SME Bank dapat mencungkil bakat usahawan-usahawan muda yang kreatif dan inovatif bermula dari peringkat sekolah menengah.”

Beliau menambah, “SME Bank telah membuka laluan buat para pelajar ini dengan memberikan mereka peluang untuk menguruskan perniagaan dan diharap ada agensi-agensi lain di luar sana yang dapat mengenalpasti produk yang benar-benar mempunyai potensi dan memadankan mereka dengan pelabur-pelabur syarikat pemula.”

Bagi edisi keenam ini, SME Bank telah menerima sebanyak 209 penyertaan daripada 113 buah sekolah seluruh Malaysia dan angka ini adalah yang tertinggi semenjak edisi pertama pada 2012. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 35 penyertaan ataupun 17% adalah dari sekolah yang baru pertama kali menyertai pertandingan ini. Sebanyak 522 buah sekolah yang melibatkan 2,169 orang pelajar sekolah menengah telah menyertai SME Bank Y-Biz Challenge sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2012.

Secara umumnya, produk-produk yang dihasilkan adalah berasaskan daripada penggunaan bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan herba; bahan kitar semula dan organik; serta perkhidmatan yang menggunakan teknologi terkini seperti applikasi telefon pintar.  Selain mendapat tunjuk ajar daripada guru pembimbing, para pelajar juga telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan nasihat daripada pakar serta menjalankan kajian terperinci sebelum memasuki pertandingan ini. Panel juri pertandingan turut memberikan maklumbalas yang positif terhadap kualiti dan kebolehgunaan produk yang dihasilkan oleh para peserta sehingga ada produk yang telah mencapai tahap sedia dipasarkan.

Ikutan daripada kejayaan SME Bank Y-Biz Challenge ini serta matlamat untuk meluaskan lagi manfaatnya, SME Bank telah memperkenalkan satu lagi pertandingan keusahawanan bagi golongan belia iaitu “SME Bank 90-days Business Challenge”.  Pertandingan ini khusus untuk para pelajar di Kolej Komuniti yang mengikuti program inkubator keusahawanan dan berdasarkan perubahan struktur di Kementerian Pengajian Tinggi, SME Bank 90-days Business Challenge ini juga telah dibuka kepada semua pelajar PoliteknikSME Bank 90-days Business Challenge edisi ke-3 akan dianjurkan pada tahun hadapan. Penganjuran kedua-dua pertandingan keusahawanan ini jalankan secara bergilir-gilir setiap dua tahun sekali. 

Majlis penyampaian hadiah Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan.