+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Merangkul Anugerah Sukuk Kelestarian Terbaik di The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2024


KUALA LUMPUR: 9 Oktober 2024 – SME Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) sekali lagi telah dinobatkan dengan Anugerah Sukuk Kelestarian Terbaik yang berprestij untuk kategori PKS oleh The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2024 ("The Asset"), berikutan kemenangan SME Bank dalam kategori yang sama dalam edisi 2023 The Asset.

Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkata, "Kami berbesar hati kerana sekali lagi telah mendapat pengiktirafan ini, di mana ini merupakan anugerah ketujuh yang telah kami terima untuk Program Sukuk Wakalah Kelestarian, sekali gus mengukuhkan lagi komitmen kami untuk mengetengahkan agenda kemampanan sebagai komponen penting dalam ekonomi. Dari tahun 2022 sehingga Ogos 2024, kami telah berjaya meluluskan pembiayaan lestari bernilai RM7.76 bilion dan ini adalah sejajar dengan misi kami untuk memperkasakan sektor PKS dan menyemarakkan pertumbuhan mampan, di samping menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara."

Sukuk Kelestarian yang membawa pulang anugerah The Asset edisi 2024 telah dilaksanakan pada Mei 2023 dan merupakan terbitan Sukuk AAA ketiga oleh SME Bank. Jumlah terbitan Sukuk tersebut melebihi RM1.0 bilion, melepasi saiz awal yang disasarkan sebanyak RM500 juta. Sukuk Kelestarian tersebut mempunyai sebut harga pada kadar keuntungan yang kompetitif sebanyak 4.05%, menjadikannya pilihan pelaburan yang menarik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur. Selain itu, program Sukuk Wakalah SME Bank telah diberikan penarafan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Bhd ("MARC") dan telah mencapai standard Emas, penarafan tertinggi di bawah Penilaian Rangka Kerja Sukuk Kelestarian MARC.

Zakiah Mat Esa, Ketua Pegawai Kelestarian SME Bank berkata, "Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan dengan mandat untuk memperkasakan ekosistem sektor PKS, kami kekal komited untuk mendukung aspirasi Malaysia ke arah mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 melalui produk kewangan inovatif kami. Hasil daripada program Sukuk Wakalah Kelestarian akan digunakan secara eksklusif untuk membiayai projek yang selaras dengan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (“ESG”). Ini mengetengahkan lagi prestasi SME Bank dalam kelayakan kredit dan tadbir urus yang kukuh dalam amalan mampan, yang juga sejajar dengan pengantaraan berasaskan nilai Bank Negara Malaysia untuk memberi impak jangka Panjang yang positif kepada komuniti dan masyarakat sekitar."

Kejayaan terbitan Sukuk tersebut telah diterajui oleh beberapa institusi kewangan, seperti RHB Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, dan Maybank Investment Bank Berhad.

Ketahui lebih lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my, Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 603-26037700.

09/10/2024 7:41