SME Bank Umum Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0, Sasar RM10 Bilion Pembiayaan Lestari Menjelang 2030
KUALA LUMPUR: 29 Oktober 2024 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad ("SME Bank") menyokong aspirasi Kerajaan untuk mencapai pelepasan GHG Sifar Bersih menjelang 2050 dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0. Ini merupakan pelan tujuh tahun yang bertujuan untuk menangani risiko berkaitan iklim, sejajar dengan matlamat kemampanan strategik jangka panjangnya.
Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 ("Pelan Hala Tuju 2.0") telah dirangka, susulan kejayaan Pelan Hala Tuju Kelestarian 1.0 yang telah dilaksanakan dari tahun 2021 – 2023, di mana sebanyak RM5.89 bilion pembiayaan lestari telah diluluskan merentasi pelbagai segmen afirmatif utama, menyumbang kira-kira 95% atau bersamaan dengan RM6.17 bilion daripada jumlah kelulusan Bank untuk tahun 2022 dan 2023. Pencapaian ini mencerminkan lagi komitmen SME Bank dalam memajukan amalan kelestarian yang sejajar dengan piawaian kemampanan nasional dan global.
Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, "SME Bank merupakan institusi kewangan pembangunan ("DFI") pertama di Malaysia yang memperkenalkan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 tujuh tahun. Ia dibangunkan oleh warga SME Bank, yang mengetengahkan fokus SME Bank untuk melaksanakan amalan ESG dengan lebih mendalam lagi, merentasi aspek utama perniagaan Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk mencapai Pelepasan GHG Sifar Bersih menjelang 2050. Pelan Hala Tuju 2.0 melambangkan komitmen kami dalam melaksanakan amalan berkaitan agenda kelestarian, berikutan kejayaan Pelan Hala Tuju 1.0."
“Selaras dengan momentum positif ini, SME Bank telah menetapkan sasaran baharu iaitu untuk mencapai RM10 bilion pembiayaan lestari dan RM1 bilion pembiayaan hijau/peralihan menjelang 2030. Ini akan disokong oleh cadangan pembiayaan inovatif kami, terutamanya Dana Kelestarian RM100 juta yang diberikan kepada SME Bank seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Nasional 2025,” tambah Datuk Dr. Mohammad Hardee.
Zakiah Mat Esa, Ketua Pegawai Kelestarian SME Bank berkata, "Perasmian Pelan Hala Tuju 2.0 menetapkan laluan yang jelas untuk perjalanan lestari Bank yang berpaksikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada penyesuaian terhadap keperluan kawal selia, manakala fasa kedua akan menerajui penyepaduan amalan kelestarian ke dalam operasi Bank. Fasa tiga pula akan menyaksikan kemajuan dan peningkatan inisiatif kelestarian untuk impak dan kecekapan maksimum. Hal ini akan menyokong matlamat SME Bank untuk mencapai operasi neutral karbon menjelang 2030, yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan penggunaan elektrik secara beransur-ansur sepanjang tempoh 7 tahun. Pelan Hala Tuju 2.0 memberi tumpuan kepada 7 sasaran yang dikaitkan dengan 3 tonggak kelestarian dan 4 matlamat jangka panjang, memastikan pengawasan berterusan dalam menangani risiko berkaitan iklim."
"Pelancaran Pelan Hala Tuju 2.0 dan perlaksanaan Pelan Hala Tuju 1.0 dirangka berdasarkan tiga tonggak: Perbankan Bertanggungjawab, Amalan Perniagaan Bertanggungjawab dan Mewujudkan Impak Sosial. Pelan Hala Tuju 2.0 adalah sejajar dengan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario ("CRMSA") Bank Negara Malaysia ("BNM"). Kami juga berbangga kerana telah membangunkan Rangka Kerja Sukuk Kelestarian ("SSF"), di mana ia mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa ("ICMA"), Forum Pasaran Modal ASEAN ("ACMF"), dan Rangka Kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab ("SRI") yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Sekuriti," ujar Zakiah.
Pada Ogos 2021, SME Bank berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian RM500 juta di mana ia merupakan Sukuk Kelestarian pertama yang dikeluarkan oleh DFI di Malaysia. Seterusnya, bahagian kedua berjumlah RM500 telah dikeluarkan pada Ogos 2022 dan bahagian ketiga, berjumlah RM1 bilion pada Mei 2023.
Terbitan Sukuk Kelestarian SME Bank telah diiktiraf oleh tujuh anugerah. Ini termasuk Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Terbaik ("SRI") dan Sukuk Pelaburan Hijau Lestari dan Bertanggungjawab ASEAN Terbaik oleh Alpha South East Asia; Anugerah Kelestarian 2021 oleh Malaysian Rating Corporation Berhad ("MARC"); Anugerah SRI & ESG Deal of the Year oleh Islamic Finance News serta Sukuk Kelestarian Terbaik untuk 2021, Sukuk-PKS Kelestarian Terbaik di bawah Anugerah Kewangan Islam 2023 dan Anugerah Sukuk Kelestarian Terbaik 2024 untuk Kategori PKS oleh The Asset Triple A.
Dengan permintaan yang kian melonjak untuk pembiayaan lestari dan inisiatif yang berteraskan amalam ESG, SME Bank menawarkan rangkaian inisiatif hijau seperti pembiayaan hijau/peralihan untuk pelanggan yang layak, di mana sumber dananya adalah daripada Bank Negara Malaysia iaitu Kemudahan Peralihan Karbon Rendah ("LCTF") dan Kemudahan Teknologi Tinggi & Hijau ("HTG"). Selain itu, SME Bank juga menawarkan Skim Insentif Kelestarian ("SIK") di bawah Belanjawan Negara 2023, di mana RM10 juta telah diperuntukkan untuk memudahkan pembinaan kapasiti PMKS dalam mengamalkan prinsip ESG.
Sejajar dengan peranan mandat SME Bank dalam menyediakan nilai melangkaui pembiayaan, SME Bank telah melatih lebih 1,508 PMKS di bawah SIK fasa 1 dari tempoh Julai 2023 – Jun 2024 melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. ("CEDAR"). Pada masa ini, SME Bank sedang melengkapkan fasa 2 yang bermula pada Januari 2024, di mana 330 daripada 1,508 peserta awal semakin mendalami kemahiran ESG merentasi pelbagai modul iaitu Penilaian Materialiti, Perakaunan Karbon dan membentuk Pelan Tindakan Lestari. Ini disasarkan lengkap menjelang Disember 2024.
Ketahui lebih lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my, Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 603-26037700.