+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank XCESS 2024 Hubungkan PKS Malaysia Ke 12 Negara, Buka Jalan Kepada Pertumbuhan Global

Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: 17 Ogos 2024 – SME Bank telah melancarkan SME Bank XCESS 2024, sebuah acara utama yang bertujuan untuk melonjakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke pasaran global. Acara ini menghubungkan usahawan tempatan dengan 24 pembeli dari 12 negara, menawarkan platform untuk padanan perniagaan, rangkaian dan peluang yang membuka jalan untuk pertumbuhan dan pengembangan antarabangsa.

Majlis ini dirasmikan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menekankan peranan penting PKS dalam ekonomi negara. Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Ewon berkata, "Pada 2023, PKS menyumbang sebanyak 39.1 peratus daripada KDNK, yang menyumbang RM613.1 bilion nilai tambah, meningkat daripada 38.6 peratus pada tahun sebelumnya. Kerajaan sepenuhnya komited untuk memupuk ekosistem yang menyokong pertumbuhan PKS. SME Bank XCESS 2024 menunjukkan komitmen kami untuk mewujudkan platform yang komprehensif dan menyokong PKS untuk berinovasi dan berkembang maju, memastikan mereka kekal sebagai tulang belakang ekonomi kita dan terus memacu pertumbuhan negara."

Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, menekankan mandat Bank untuk menyokong PKS secara holistik pada setiap peringkat perjalanan pertumbuhan mereka. Beliau berkata, "SME Bank XCESS 2024 merupakan pencapaian penting dalam misi kami untuk memperkasakan PKS melangkaui sempadan dan meningkatkan keupayaan eksport mereka dengan ketara, membolehkan mereka bersaing dan berkembang maju pada skala global. Hari ini, kami menghubungkan usahawan tempatan dengan 24 pembeli dari 12 negara; Brazil, Jerman, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, India, China, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Kemboja, dan Indonesia. Dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), kami mewujudkan peluang eksklusif kepada usahawan untuk meluaskan jangkauan mereka di peringkat antarabangsa. Inisiatif ini menyerlahkan komitmen kami dalam mengukuhkan sektor PKS, membolehkan mereka menembusi dan berjaya ke pasaran global, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.”

Majlis itu juga menandakan pertukaran dua perjanjian penting. Pertukaran perjanjian pertama adalah antara The Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) dan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), yang bertujuan untuk meningkatkan khidmat nasihat untuk PKS dengan menawarkan bimbingan kewangan dan sumber pembangunan yang penting untuk menyokong pengembangan, mengoptimumkan operasi dan menambah baik proses membuat Keputusan merea. Pertukaran perjanjian kedua, antara SME Bank dan Telekom Malaysia (TM), memberi tumpuan kepada mempercepatkan transformasi digital PKS dengan melengkapkan mereka dengan penyelesaian kewangan dan perkhidmatan digital.

"Perkongsian ini adalah sebahagian daripada strategi kami yang lebih luas untuk meluaskan jangkauan kami kepada PKS yang kurang mendapat perkhidmatan," tambah Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim. "Mereka merupakan satu lonjakan besar ke hadapan, bukan sahaja dari segi meluaskan jangkauan pasaran tetapi juga dalam meningkatkan keupayaan digital dan kewangan PKS untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi global yang pantas hari ini."

SME Bank XCESS ialah program tahunan SME Bank yang diadakan bagi memupuk pertumbuhan dan penciptaan nilai dalam ekosistem PKS, melangkaui perkhidmatan pembiayaan. Sepanjang tiga tahun yang lalu, SME Bank XCESS telah menarik lebih daripada 140,000 peserta PKS, secara maya dan bersemuka, dan memadankan lebih daripada 1,700 perbincangan perniagaan melalui sokongan daripada 142 rakan strategik. SME Bank XCESS 2024 meneruskan tradisi ini, disokong oleh rakan strategik yang kukuh termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan agensinya, serta organisasi seperti MATRADE, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), EXIM Bank, Perbadanan Pembangunan Halal, CelcomDigi, Unifi Biz dan MARC.

Selain SME Bank XCESS, SME Bank menawarkan peluang pengembangan ke peringkat global melalui Program Eksport Perniagaan (BEP), yang dianjurkan dengan sokongan KUSKOP dan MATRADE. Inisiatif ini menyediakan platform dinamik kepada usahawan Malaysia untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif mereka di pentas antarabangsa. Selain itu, SME Bank memperluaskan pembiayaan melalui skim Jaguh Serantau, dengan peruntukan sebanyak RM300 juta. Skim ini disesuaikan untuk menyokong PKS Bumiputera yang berpotensi menjadi juara serantau dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang pelbagai, serta subsidi kadar keuntungan yang disediakan oleh Kerajaan.

SME Bank kekal komited dengan mandatnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan menyediakan bukan sahaja sokongan kewangan tetapi juga program latihan dan pembangunan untuk PKS. Sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani, SME Bank berhasrat untuk meningkatkan ekosistem inovasi dan usaha serta mempromosikan orientasi eksport untuk PKS, sekali gus meningkatkan potensi dan kejayaan PKS. Ketahui lebih lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my, Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di 603-26037700.

17/08/2024 6:08