+603 2603 7700
EN BM

Memacu Industri Halal: SME Bank Jalin Kerjasama Dengan HDC dan Perak SADC

13 September 2023

KUALA LUMPUR: 13 September 2023 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) semalam telah mengadakan sesi pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sewaktu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023. Kerjasama itu bertujuan menyokong pertumbuhan perusahaan PKS dalam Industri halal dan menyumbang kepada matlamat mencapai sebanyak USD113.2 bilion untuk pasaran Halal Malaysia menjelang tahun 2030.

Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Kira-kira 84.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sektor PKS adalah daripada usahawan sektor pembuatan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, tidak semua perusahaan ini bersedia untuk memenuhi piawaian dan peraturan global, dan juga memenuhi permintaan tinggi untuk produk dan perkhidmatan yang telah diperakui Halal. Kerjasama ini bukan sahaja akan menyediakan penyelesaian kewangan kepada PKS yang berkaitan dengan HDC dan Perak SADC, tetapi juga memenuhi keperluan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan PKS dalam industri Halal.”

Pertukaran MoU antara SME Bank, HDC, dan Perak SADC telah disaksikan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). SME Bank diwakili oleh Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif; HDC diwakili oleh Khairul Azwan Harun, Pengerusi HDC, dan Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif HDC; manakala Perak SADC diwakili oleh Hj. Yahanis Yahaya, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC.

Selain menyediakan sokongan kewangan dan pembinaan kapasiti kepada usahawan di bawah bidang kuasa HDC dan Perak SADC, kerjasama dengan Perak SADC juga akan meneroka peluang bagi SME Bank untuk menyediakan pembiayaan untuk Hab Daging Halal Perak dan usahawan PKS yang akan menjadi sebahagian daripada hab ini.

SME Bank ialah agensi pelaksana utama untuk pavilion KUSKOP di MIHAS 2023. Pavilion ini berfungsi sebagai platform untuk 24 PKS untuk mempamerkan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka yang pelbagai. 12 daripada peserta ini terlibat secara aktif dalam Program Bisnes Eksport (BEP), satu inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh SME Bank.

Satu lagi platform perniagaan yang wajar diberi perhatian ialah SME XCESS 2023, program pemadanan perniagaan hibrid untuk perniagaan tempatan dan antarabangsa berkembang dan maju ke hadapan. Dijadualkan berlangsung dari 21-22 September 2023 di MITEC, Kuala Lumpur, acara ini akan menyediakan laluan kepada PKS untuk meneroka pelbagai program pembiayaan dan melangkaui pembiayaan yang ditawarkan oleh SME Bank bersama barisan rakan kongsinya yang pelbagai termasuk agensi kerajaan, syarikat utama, entiti runcit dan pasar raya besar, pembekal, pengimport dan penghubung pasaran. Pendaftaran SME Bank XCESS 2023 adalah percuma dan terbuka kepada semua. Sahkan penyertaan anda hari ini dengan melayari www.smebankxcess2023.com