+603 2603 7700
EN BM

Kakitangan SME Bank Pulihara Sumber Alam

KUALA LUMPUR : 13 Disember 2017

KUALA LUMPUR : 13 Disember 2017 – Kakitangan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) membantu dalam usaha memulihara ekosistem paya bakau dengan menanam lebih 200 anak pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor di bawah Program Tanggungjawab Korporatnya baru-baru ini.

Khairil Anuar Mohammad Anuar, Pengarah Strategi Kumpulan dan Penjenamaan SME Bank berkata, “Program penting ini memberi kesedaran betapa perlunya kita memulihara hutan paya bakau yang berfungsi sebagai benteng semula jadi yang mampu menyerap tenaga yang dihasilkan daripada ombak laut jika berlaku tsunami di masa hadapan.”

Selain itu, hutan paya bakau dapat memerangkap enapan iaitu satu proses penambakan tanah secara semula jadi akibat daripada fenomena pasang surut air dan sekali gus membantu negara mengatasi ancaman kenaikan aras laut global.

“Aktiviti ini melibatkan seramai 43 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan SME Bank beserta ahli keluarga masing-masing.  Dengan tema “Giving Back To Nature”, program yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia ini juga berjaya menyemarakkan semangat sukarelawan dikalangan kakitangan SME Bank,” tambah Khairil Anuar.

Taman Alam Kuala Selangor telah dibangunkan pada tahun 1987 oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor.  Taman seluas hampir 800 ekar ini telah menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai habitat kehidupan haiwan.  Taman alam ini terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu seluas 201 hektar meliputi Hutan Hujan Tropika dan selebihnya merupakan Hutan Paya Bakau.  Taman ini di bawah pengurusan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Program sehari ini adalah antara aktiviti penutup Program Tanggungjawab Korporat SME Bank bagi tahun 2017 selain Program “Back To School” yang akan diadakan sebelum sesi persekolahan 2018 bermula.  Di sepanjang 2017, SME Bank juga turut menganjurkan beberapa Program Tanggungjawab Korporat lain antaranya Program Pengagihan Bubur Lambuk, Kempen Derma Darah, Penyerahan Zakat, bantuan mengisi Tabung Bencana, Pengedaran Pek Makanan untuk gelandangan, Sumbangan Pek Makanan untuk Kempen Ramadhan Al-Khair di Syria, Program Sahabat Korporat Tabung Haji 1439H dan bantuan kepada fakir miskin serta golongan kurang upaya.