+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Sediakan RM1 Bilion untuk Kontraktor ECRL

KUALA LUMPUR : 18 November 2019

SME Bank, peneraju utama Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) bagi sektor PKS dan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, telah memperuntukkan pembiayaan bernilai RM1 bilion khusus untuk subkontraktor tempatan yang dilantik untuk kerja sivil dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Inisiatif ini telah dipersetujui melalui satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) yang berlangsung hari ini.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif, SME Bank berkata, "SME Bank bangga menjadi salah satu pemain utama yang menyumbang kepada kejayaan projek yang berimpak tinggi terutamanya bagi pembangunan negara. Inisiatif ini adalah selaras dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan utama dan pada masa yang sama mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato' Sri Haji Darwis Abdul Razak berkata MoU tiga pihak yang menyediakan penyelesaian akses kepada kewangan untuk 40 peratus subkontraktor tempatan yang terlibat dalam projek ECRL ini akan membantu mempercepatkan kerja-kerja sivil bagi projek infrastruktur kereta api sepanjang 640 km dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang.”

Beliau berkata kerjasama SME Bank-MRL-CCC (ECRL) adalah tepat pada masanya kerana penganugerahan awal bagi pakej kerja sivil ECRL kepada subkontraktor tempatan telah berjalan secara berperingkat bagi kerja-kerja awalan dan terowong di jajaran Dungun-Mentakab. "Lebih cepat syarikat pembinaan tempatan menyertai kerja-kerja sivil untuk projek ECRL, lebih pantas projek ini menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan dan bahan binaan serta industri rel Negara," tambah Darwis.

Kerjasama ini juga bertindak sebagai pengesahan kepada projek ECRL di bawah perjanjian yang dirunding semula antara Malaysia dan China yang antara lain melihat peningkatan penyertaan subkontraktor tempatan untuk kerja sivil daripada 30 peratus kepada 40 peratus.

Oleh kerana pemberian pakej kerja sivil ECRL akan dilakukan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, kerjasama ini akan menggalakkan syarikat pembinaan tempatan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam projek ini dan memastikan ia dapat disiapkan menjelang Disember 2026.

Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan berkata, "Projek ECRL adalah kerjasama ekonomi dan perdagangan yang penting antara Malaysia dan China. Kami akan memberikan sekurang-kurangnya 40% daripada kerja-kerja sivil kepada kontraktor tempatan."

"Ketika kita sedang bersiap sedia untuk memulakan kerja-kerja sivil secara penuh di beberapa lokasi sepanjang 223km bagi laluan Dungun ke Mentakab, ini merupakan pengumuman yang tepat pada masanya untuk subkontraktor kami yang telah dilantik dan akan dilantik pada masa hadapan. Pakej kewangan yang menyeluruh ini akan memberikan ketenangan fikiran buat subkontraktor tempatan dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pembinaan asas projek kereta api yang akan menyumbang ke arah merapatkan jurang pembangunan di antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan kawasan di sepanjang jajaran projek ini," tambah Bai.

Majlis menandatangani perjanjian ini telah disaksikan oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan, YB Datuk Seri Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan, Tuan Yang Terutama Bai Tian, Duta Republik Rakyat China, YB Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md Ramli, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff . Menandatangani MoU bagi pihak SME Bank ialah Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif, manakala Dato' Sri Haji Darwis Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif mewakili MRL dan Ir. Fang Zhenru, Pengarah Projek mewakili CCC-ECRL.