+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Raih Dua Anugerah Pembangunan ADFIAP 2022 Di Manila

KUALA LUMPUR : 7 November 2022

Usaha SME Bank dalam memupuk dan membangunkan PKS telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila ia merangkul dua (2) anugerah iaitu Pemenang Kategori Pembangunan PKS untuk program SME Bank XCESS dan Kategori Pembangunan Perdagangan untuk program eCOACH DUBAI pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Institusi Pembiayaan Pembangunan di Asia dan Pasifik (ADFIAP) ke-45 yang diadakan di Manila, Filipina dari 26-27 Oktober 2022.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank XCESS ialah program utama SME Bank yang memenuhi peranannya sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang bukan sahaja menyediakan pembiayaan tetapi juga melaksanakan pelbagai inisiatif yang melangkaui pembiayaan dan menjadi saluran untuk PKS mendapatkan sumber/padanan bagi rangkaian perniagaan bernilai tinggi dan berhubung dengan penyedia pembiayaan perniagaan yang dikenal pasti. XCESS diletakkan sebagai inisiatif utama Bank SME dalam menyokong usaha Kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan pemulihan dan pembangunan sektor PKS. Sebanyak RM190 juta permohonan pembiayaan telah diterima semasa program tersebut diadakan. Sebanyak 538 sesi pitching juga telah dijalankan antara PKS dan syarikat Anchor yang mengambil bahagian. Mengambil pendekatan hibrid, SME Bank XCESS 2021 yang merupakan acara tahunan kami sejak 2016 adalah satu kejayaan dan ianya telah menarik minat 6161 peserta semasa program sehari ini.”

Datuk Wira Aria menambah, “Melalui Ekspo Dubai 2020, anak syarikat milik penuh SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) telah diberi tanggungjawab untuk melatih 19 syarikat dengan sasaran mencapai pelaburan bernilai RM50 juta. Delegasi perdagangan tersebut telah melepasi sasaran dan menerima pelaburan bernilai RM100 juta berikutan penglibatan agresif dan berterusan yang dijalankan sebelum Ekspo Dubai 2020.” 

Tema Mesyuarat Tahunan ADFIAP ke-45 untuk tahun ini ialah, “Menjawab Isu dan Kecenderungan Global: Peranan Strategik DFI,”. Tema tersebut dipilih untuk menyerlahkan keperluan institusi kewangan pembangunan (DFI) di peringkat global untuk membantu bidang ekonomi yang utama, strategik dan kurang mendapat perkhidmatan dengan bantuan kepimpinan, kewangan dan teknikal. Dengan perubahan demografi, pasaran, teknologi, rejim kawal selia dan wabak, DFI berada di barisan hadapan dalam mengurus cabaran dan mencipta peluang.

ADFIAP ialah sebuah platform untuk pembangunan dan institusi PKS yang terlibat dalam pembiayaan pembangunan di rantau Asia-Pasifik. ADFIAP yang diasaskan pada 1976 kini mempunyai 90 institusi ahli di 38 negara dengan misi untuk memajukan pembangunan mampan. ADFIAP juga merupakan ahli pengasas Persekutuan Institusi Pembiayaan Pembangunan Dunia yang terdiri daripada persatuan serantau dari Afrika, Asia-Pasifik, Amerika Latin dan Timur Tengah. ADFIAP juga merupakan sebuah NGO dalam status perundingan dengan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sekretariat tetap ADFIAP berpangkalan di Makati City, Metro Manila, Filipina.