UniSZA, SME Bank jalin kerjasama program pembangunan usahawan
KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti awam pertama menjalin kerjasama rasmi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank).
Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, kolaborasi tersebut membabitkan pelaksanaan program pembangunan usahawan dan graduan.
Menurutnya, antara kerjasama itu adalah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), penyelidikan dan pembangunan kolaboratif, penawaran kemudahan dan perkhidmatan makmal dan program pembangunan keusahawanan untuk graduan UniSZA.
“Selain itu, kami juga akan bekerjasama dalam program sangkutan industri di bawah Program CEDAR BEACON, program jangka pendek seperti bengkel, seminar, webinar untuk pensyarah dan pelajar UniSZA dan pembiayaan untuk usahawan siswazah dan syarikat ‘spin-off’ UniSZA.
“Pihak UniSZA amat berbesar hati dengan pemeteraian MoU ini yang bakal melibatkan pelbagai kerjasama dalam program-program berkenaan,” ketika selepas hadir ke Majlis Menandatangani MoU antara kedua-dua pihak pada Khamis.
Pada majlis itu, UniSZA diwakili Fadzli dan Pendaftar, Ismail Musa manakala SME Bank diwakili Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Shuhaibahtulaslamiah Hurmuzan.
Turut berlangsung penyerahan surat lantikan Business Advisory & Coaching Network (BEACON Affiliate) daripada Aria Putera kepada Fadzli selaku wakil kakitangan UniSZA yang dilantik sebagai pelatih Program Sangkutan Industri di bawah Program CEDAR BEACON.
Fadzli berkata, kerjasama itu diharap dapat membantu misi UniSZA dalam membentuk insan holistik menerusi pendidikan cemerlang dan penyelidikan berimpak tinggi berasaskan pengalaman pintar untuk melestarikan masyarakat.